Dari Meja Presiden
1 Ramadhan 1433 Hijrah
Bulan
Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya
selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab
dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin
menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa
beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1.
Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga
dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis
dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh
keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang
telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan
Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah
berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan
yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan
dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis
riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan
Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata:
Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang
difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa
antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan
penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan)
merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik
kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).
Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan
berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah
telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah?
Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat
perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau
melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala
meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).
-Hadis
riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu
Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku
akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang
berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari
itu dan tidak meninggikan suara.
Sekiranya dia dihina atau diserang maka
dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi
Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum
di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi,
dan
bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan
keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan
apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat
imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan
Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan
Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan
sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan,
manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah
begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala
perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan
agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi
kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu
nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4.
Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke
lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang
lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti
menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam
jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah
yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7.
Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat
ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat
selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti
berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan
kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua
kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak
bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila
bercakap.