“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak
cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat
penting
kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup
melakukan
pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti
mengambil
pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.
Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga
kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang
setiap
hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan
pada
kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara
makanan
yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan
vitamin,
bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan
protein.
Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang
berkualiti
sahaja.
Selain pengambilan makanan yang
seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau
bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja
berat.
Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan
membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat
membakar
lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga
dapat
melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan
risiko
penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan
aktiviti
sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit
jantung, dan tekanan darah tinggi.
Akhirnya, ubat yang paling mujarab
untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan
tidur
yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada
enam jam
sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil.
Orang
yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian
kepada
kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah
berasa
letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa
sekurang-kurangnya lapan
jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.
Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.