Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan
pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya,
peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu
kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan itu,
pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan
sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.
Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon
bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit,
kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta
berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit
juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat
menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan
perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih
menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon
untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah
dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih
hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.
Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka
kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang
mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah
mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta
dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit,
mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid
akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.
Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan
pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit
ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka
akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka.
Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia
muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa
tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang
mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati
dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya,
pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga
menyebabkan proses pembelajaran terganggu.
Soalnya, adakah patut kita
membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat
kecurian telefon bimbit?
Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru
sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit.
Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses
pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian,
pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej
berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak
berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit
yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu
kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah
sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar
dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak
senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan
rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.
Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang
bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar
masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan
oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan
mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak.
Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah
terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah
diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.
Tuntasnya, langkah kerajaan
melarang penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak.
Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi
mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para
pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon
bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.