Beberapa hari kebelakangan ini, orang ramai mula heboh memperkatakan mengenai fenomena ponteng sekolah di kalangan pelajar. Isu ini mula mendapat tempat di media massa apabila Pengarah Pelajaran sebuah negeri membuat kenyataan bahawa separuh daripada pelajar di sebuah sekolah ponteng pada hari Khamis dan Jumaat. Isu tersebut semakin mendapat perhatian apabila seorang Timbalan Menteri menyatakan bahawa guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca utama peningkatan peratusan pelajar yang ponteng sekolah ini ibarat makan gaji buta. Persoalannya, benarkah guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca mengapa pelajar ponteng?
Punca utama pelajar
ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk bersekolah. Kebanyakan
pelajar
ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas
untuk
membuat latihan yang diberikan oleh guru dan mereka bukannya ulat
buku.
Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan
kerana
terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari di samping terpaksa
membuat
pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan
penyelesaian
yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam
kategori ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai
pakaian
sekolah yang lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah,
sebaliknya mereka berkumpul di mana-mana tempat lain untuk
berseronok-seronok. Di kawasan pekan atau bandar, tempat yang menjadi
tumpuan
utama pelajar seperti ini adalah pusat snuker atau pusat permainan
video.
Kurangnya pemantauan
ibu bapa yang seperti melepaskan batuk di tangga juga
merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak-anak berani untuk
ponteng
sekolah. Sebilangan ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari nafkah
tambahan bagi
anak-anak mereka sehingga mereka tidak menyedari serta mengambil tahu
tentang
aktiviti anak-anak mereka di luar rumah. Keadaan menjadi semakin rumit
apabila sesetengah ibu bapa enggan datang ke sekolah bagi
membincangkan
permasalahan anak mereka. Ini menyulitkan lagi proses untuk menangani
pelajar-pelajar yang bermasalah seperti ini.
Memang tidak dinafikan
bahawa terdapat sesetengah guru yang tidak pandai mengajar atau tidak
menunjukkan kesungguhan di bilik darjah sehingga membuatkan pelajar
bosan
lalu ponteng sekolah. Namun bilangan guru yang bersikap seperti ini
sangat
kecil. Hal ini dibuktikan oleh Dt. Amirah Latif dan Dr. Adillah
Syazwani
Khairi, dua orang pensyarah pendidikan di Universiti Malaya dalam
kajian
mereka tentang punca pelajar ponteng di beberapa buah sekolah di
sekitar
Lembah Klang. Dalam kajian yang melibatkan 125 orang pelajar yang
pernah
ponteng sekolah, hanya 10 orang pelajar yang menyatakan bahawa mereka
bosan
dengan cara pengajaran guru. Lain-lain menyatakan bahawa mereka
ponteng
kerana kurangnya minat untuk belajar, suka mengikut kawan-kawan dan
tidak
kurang juga yang melakukan kerja sambilan.
Biar apa pun puncanya
pelajar ponteng sekolah, perkara penting yang patut difikirkan adalah
cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut. Sekiranya keadaan ini
dibiarkan
berterusan, semakin ramai pelajar yang akan membuat keputusan untuk
ponteng
sekolah. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama yang padu kepada pihak
sekolah
untuk mengatasi fenomena ini. Ibu bapa tidak
seharusnya
menyerahkan tanggungjawab untuk membentuk, mendidik serta mengawasi
anak-anak
mereka kepada pihak sekolah sepenuhnya, tetapi mereka juga harus
memainkan
peranan dalam mengawasi kegiatan anak mereka di luar sekolah. Jika
tidak,
anak-anak mereka akan menjadi tidak terkawal dan bebas untuk
berkeliaran di
luar sekolah.
Kesimpulannya,
fenomena
ponteng sekolah bukanlah satu gejala yang tidak boleh ditangani.
Dengan
adanya kerjasama yang kukuh dan padu daripada semua pihak, sudah pasti
gejala
ini akan berkurangan ibarat bulat air kerana pembetung, bulat
manusia
kerana muafakat. Semua pihak khasnya ibu bapa, pihak sekolah,
pihak
PIBG, serta masyarakat sekeliling harus menggembleng tenaga dan
bersatu padu
untuk mengurangkan gejala ponteng sekolah ini.