Thursday, October 6, 2011

Peranan Warga Tua

Oleh : Watie

Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran.  Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.  
 
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.  
 
Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini?  Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.
 
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.  
 
Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.  
 
Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 
 
Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.  Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari.  
 
Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 
 
Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.  Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. 
 
Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  
 
Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini.  Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Tuesday, October 4, 2011

Pinjaman Ceti Haram dan Kesannya






Oleh : Hayati

 

............Kegiatan ceti haram sememangnya tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah, serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan negara. Kini, dalam era yang lebih moden, kegiatan ceti haram lebih terkenal dengan jolokan "along" dan kegiatan mereka kebiasaannya bertumpu di semua bandar di negara kita.

............Isu ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian, pengedaran dadah dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’. Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti haram.

............Kesempitan hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi faktor orang ramai meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan pintas untuk penyelesaian masalah kewangan mereka. Lantas, mereka bertindak dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi kelak.

............Namun begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan semula wang mereka. Jika tidak pun, rumah mereka akan disimbah cat atau keluarga mereka dimaki hamun sebagai cara untuk memalukan si peminjam agar melangsaikan hutang mereka. Malangnya, tindakan ganas ini bagaimanapun masih tidak menyedarkan ramai pihak agar menjauhi ceti haram berkenaan.

............Bagi si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga. Apa tidaknya, bunga yang dikenakan oleh ceti haram bukanlah calang-calang tingginya. Pinjaman seribu dua mungkin boleh mencecah puluhan ribu dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan si penghutang tidak mampu membayar hutang mereka. Hal seperti inilah yang sepatutnya menjadi perkiraan utama kepada orang ramai sebelum membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan ceti terbabit.

............Intihanya, masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam negara. Pihak berkuasa perlulah bertindak tegas kepada ceti haram dan juga pihak yang membuat pinjaman kepada ceti haram berkenaan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai alternatif agar orang ramai meminjam daripada institusi kewangan yang diiktiraf seperti pihak bank. Jadi, tidak timbul isu mengapa kita tidak boleh melepaskan diri daripada cengkaman ceti haram demi mengatasi masalah kewangan kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...