Sejak
beberapa tahun yang lalu, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam
negara
yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan
mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu
pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar,
Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat
kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya
tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang
mendiami
sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga
penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan
sampah
dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak
berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai
acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan
swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai
dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir
melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga
perlu
dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi
sungai
mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya
daripada
dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda
pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai
semakin
teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah
‘mati’.
Mengikut
perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan
Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara
kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan
lembah
sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya
semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai
dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal
58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah
tercemar
manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada
53.
Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal
sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak
diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada
2002
bertambah baik setahun kemudian.
Pemantauan
yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak
ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan
kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini
disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin
terhadap
tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak
pernah
terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan
sungai kita
terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun
tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan
sampah.
Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah
kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan
sungai.
Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis.
Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak
lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan
rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis
pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi
tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan,
selagi
itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan.
Kesedaran
demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan
cinta
akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada
murid di
sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin
terhadap
usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk
meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai
dipelihara supaya terus bersih.
Demikian
juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran
dan
sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak
bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan
oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu
ditingkatkan.
Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka
bertindak.
Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa
sehingga
tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan
membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik
ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya
kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan
menjadi
bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai
kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai
terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.
No comments:
Post a Comment